Lepas ‘pingat dari parit’, Cikgu Mie Ubai gali kolam renang

  • 4 years ago
Jarang kita dengar guru bina sendiri kolam renang, tapi itulah kelainan yang dicipta oleh guru sekolah ini untuk anak murid mereka.

Cikgu Mohamad Sahaimi Zainal atau mesra dengan panggilan Cikgu Mie Ubai, merupakan Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum di Sekolah Kebangsaan Simpai.

Melihat anak muridnya terjun dan berlatih berenang di dalam parit, telah memberikan inspirasi kepada Cikgu Mie Ubai untuk membina kolam akuatik seluas 1 ekar ini.

Katanya lagi, hasil dari latihan renang di parit, bakat pelajar-pelajar ini berjaya digilap sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia.

Pelajar-pelajar ini juga terpilih menjadi atlit Pahang untuk SUKMA.

Menyedari hakikat itu, selain tidak mampu membawa para pelajar ke kolam renang awam, guru-guru mengambil inisiatif memenuhi impian pelajar dengan membina kolam renang di sekolah.

Menurut Cikgu Mie Ubai yang juga Pengerusi Teknik Akuatik Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang, kolam ini boleh melatih bakat-bakat muda yang tidak mendapat latihan yang sepatutnya.

Dengan terbinanya kolam ini juga akan dapat membantu meringankan kos serta latihan yang kerap untuk para pelajar.

Di samping itu, aktiviti air merupakan aktiviti kegemaran murid di sekolah tersebut. Kehadiran kolam ini nanti mampu memberikan daya tarikan serta keseronokan untuk mereka hadir ke sekolah.