Festival Hari Guru 2017: Lima pemenang Anugerah 1BNTA 2017

  • 6 tahun lalu
JOHOR BAHRU 13 Mei - Seramai lima orang guru dari seluruh negara hari ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah 1Bestarinet Teacher Awards (1BNTA) anjuran FrogAsia.

Anugerah yang diadakan bersempena dengan Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 itu diadakan bagi mengiktiraf guru-guru yang mempraktikkan pendekatan pembelajaran dan pemudahcaraan menggunakan pembelajaran secara maya (Frog VLE).

Tempat pertama dimenangi oleh Guru Matematik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan, Saifulnizan Che Ismail; tempat kedua Guru Pendidikan Moral dariSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria, Tuaran, Sabah, Kamisah Mohd. Khamis dan tempat ketiga Guru Bahasa Melayu dari SMK Jalan Reko, Kajang, Mohamad Jalil Mohamad Yunus.

Manakala Anugerah Guru Inspirasi dimenangi oleh Huszarudin Hussin dari SK Felda Lokheng Selatan, Johor dan Anugerah khas dimenangi oleh Noridah Hamdan dari SK Kayang, Perlis.

Semua pemenang menerima trofi 1BNTA 2017, sebuah Chromebook, peralatan IT dan tiket Petrosains.

Pemenang pertama, Saifulnizan berkata, beliau menggunakan kaedah Frog VLE sejak 2013 ketika sesi pembelajaran.

"Murid-murid pada masa ini lebih berminat untuk belajar secara maya, oleh itu melalui Frog VLE semua nota dan latihan untuk subjek matematik dilakukan secara alam maya.

"Apa yang saya dapat lihat apabila menggunakan kaedah ini, pelajar lebih berkeyakinan jika sebelum ini pasif kini mereka lebih aktif dan secara tidak langsung meningkatkan prestasi pelajaran mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima anugerah tersebut dalam Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, Kamisah berkata, melalui Frog VLE pelajar didedahkan untuk membuat pembentangan bukan sahaja di dalam kelas, malah kepada guru-guru dari luar.

"Murid-murid perlu membentangkan hasil kerja mereka kepada guru-guru dari luar dan ini memberi kesan positif kerana mereka lebih yakin dan kemahiran komunikasi mereka juga bertambah baik," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Jalil berkata, biarpun baru setahun menggunakan kaedah Frog VLE dalam sesi pembelajaran, namun prestasi pelajar menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

"Saya membuat kuiz, latihan dan nota ringkas melalui Frog VLE dan pelajar boleh mengaksesnya pada bila-bila masa walaupun tanpa kehadiran guru.

"Kaedah ini sangat bagus kerana pelajar tidak akan ketinggalan dalam pelajaran kerana mereka boleh mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga di luar waktu sekolah," katanya. - UTUSAN ONLINE